Halloween Costume ideas 2015
Articles by "NATIONAL"

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diumumkan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton Holdings Berhad (Proton), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).
Perletakan jawatan yang berkuatkuasa pada 30 Mac disusuli pemecatannya sebagai penasihat di Petronas 11 Mac lalu.
Proton dipengerusikan Mahathir sejak diasaskan pada 7 Mei 1983.
Surat perletakan jawatan sebagai pengerusi diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar semalam.
Perletakan jawatan sebagai Canselor UTP dimaklumkan kepada Rektor, Datuk Abdul Rahim Hashim, dan berkuatkuasa 30 Mac.
Difahamkan, Ketua Setiausaha Negara telah diumumkan mengenai perletakan jawatan ini.
Sebelum ini, beberapa pimpinan UMNO mendesak pemecatan bekas Perdana Menteri itu lantaran kelantangannya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Ketidakpuasan hati Mahathir terhadap Najib didorong skandal berkaitan 1MDB dan derma politik, RM2.6 bilion. FMT, Instant Malaysia 


BIARPUN dilanda banyak isu dan kontroversi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Airlines (MAS) masih mendapat kepercayaan daripada penumpang, khususnya rakyat negara ini.

Ini terbukti apabila MAS menerima kritikan pedas daripada anak seorang anak kenamaan (VIP) semalam, netizen tanpa ragu-ragu menyuarakan sokongan mereka buat syarikat yang sudah beroperasi lebih 40 tahun itu.

Ramai yang tidak senang dengan kritikan yang dilemparkan dan menyifatkannya sebagai sangat biadap.


Netizen bidas kritikan terhadap MAS.
Netizen bidas kritikan terhadap MAS.

Netizen berpendapat, biarpun kritikan adalah sesuatu yang boleh membina, namun ia boleh menjadi sebaliknya terutamanya apabila dilontarkan dalam nada sinikal. Malah, jika tidak kena tempat, ia boleh disifatkan sebagai menghina.

Jika anda sependapat dengan mereka, suarakan sokongan buat MAS dengan hashtag #whyiflymas di laman sosial.

Semalam, anak Menteri tersebut mengkritik MAS sebagai sebuah penerbangan yang mahal, selain mempunyai krew kabin yang sudah berusia.

Ia mendapat reaksi negatif banyak pihak, termasuk Persatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), yang menyifatkan kritikan itu bukan sahaja tidak sensitif tetapi juga menjejaskan maruah krew kabin syarikat penerbangan itu. - Astro Awani, Instant Malaysia

Impian 24 tahun seorang pemuda bertemu Tun Mahathir suntik semangat netizen

KUALA LUMPUR: Impian yang disimpan selama 24 tahun oleh seorang lelaki untuk bertemu idolanya iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menjadi kenyataan.

Kisah pemuda ini nyata telah menyuntik semangat rata-rata netizen di media sosial.

Mohd Fahmi Huzairi dari Mentakab Pahang merupakan seorang penyokong setia Tun Mahathir yang telah lama menunggu hari terbaik untuknya bertemu pemimpin tersebut. 

Lebih mengagumkan, Fahmi menghadiri perhimpunan Kongres Rakyat dari Mentakab dengan menggunakan wang tabungnya.

Difahamkan, Fahmi telah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyertai perhimpunan yang turut dihadiri Tun Mahathir pada Ahad lalu.

Tetapi malangnya, beliau terpaksa bermalam di Kuala Lumpur dengan bantuan seorang rakan kerana tidak ada bas yang bertolak ke Pahang pada malam itu.

Mungkin itu adalah takdir Fahmi untuk bertemu Tun Mahathir pada keesokan harinya.

Bak kata pepatah, “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”

Kegigihan dan kekaguman Fahmi akhirnya menemukan beliau dengan lelaki yang pernah memimpin negara selama 22 tahun itu.

Dengan bantuan rakan-rakan penyokong Tun Mahathir, Fahmi berpeluang untuk bertemu serta meluangkan masa bersama Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada pagi Isnin sebelum beliau bertolak ke Mentakab.

Bukan sekadar bertemu, Fahmi sempat meluahkan kasih sayangnya dengan memeluk Tun Mahathir.

Beberapa keping rakaman pertemuan itu kemudian dikongsi oleh Fahmi menerusi laman Facebooknya dan ia menjadi viral dalam sekelip mata.




Ikhmal Mohamad Dan Kelab Che Det...Allah sahaja yg boleh membalas jasa2 semua.Impian 24tahun nk cium tgn Tun M dan peluk beliau terealisasi kini#AkuMahathirismeXde kata2 dah.
Posted by Mohd Fahmi Huzairi on Sunday, March 27, 2016

Susulan itu, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan sikap keikhlasan dan kasih sayang Tun Mahathir yang sanggup memeluk seorang rakyat biasa seperti Fahmi.
Malah, mereka juga berpendapat pertemuan ini merupakan pembakar semangat kepada golongan muda di negara ini.

Seorang pengguna Facebook, Rayyan Adam berkata,  “Jika diukur dari penelitian jurufoto profesional , foto sebegini adalah klasik, inspirasi, mempamerkan suatu ketulenan hubungan ikhlas antara seorang pemimpin dan rakyat biasa."

Terharu tengok gambar-gambar ini...bukan memuja...bukan memuji...tetapi kerana kasih sayang suci dan ikhlas buat pemimpin yang cukup disayangi dunia ini".
Kami semua bangga ada pemimpin seperti ayahanda Tun Dr Mahathir,” kata Putra Kola. 



SEPANG - Sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung dikesan menyalahgunakan logo halal Malaysia pada bungkusan makanannya bagi memasarkan produk daging babi untuk dieksport.
Lebih mengecewakan apabila nama produk tersebut yang ditulis dalam bahasa Mandarin membawa maksud 'daging babi salai pedas Melayu'.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Sirajuddin Suhaimee, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk tersebut ketika membelinya di salah sebuah kedai di Ampang, Selangor.
"Selepas mendapat aduan berkaitan produk berkenaan kita telah meminta pihak bertanggungjawab untuk menterjemah tulisan Mandarin pada hadapan bungkusan tersebut dan mendapati produk ini dihasilkan di sebuah kilang di sebuah negeri Pantai Timur berdasarkan alamat tertera.
"Sehubungan itu, kita telah menghantar pasukan siasatan untuk mengesan kilang tersebut dan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk berasaskan daging babi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri konvensyen badan pensijilan halal kali ketujuh di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sirajuddin berkata, berdasarkan tulisan pada bungkusan produk tersebut mendapati pada hadapan bungkusan tersebut menggunakan Bahasa Thailand manakala, di bahagian belakangnya pula menggunakan Bahasa Mandarin.
Katanya lagi, siasatan awal turut mendapati bahawa produk tersebut bukan untuk edaran tempatan sebaliknya untuk dieksport ke pasaran Fujian, China dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan disabitkan ke atas individu.
Sumber Kosmo itu berkata, bagi kesalahan membabitkan syarikat, mahkamah boleh memerintahkan pengusaha membayar denda tidak lebih RM5 juta sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai supaya menjadi mata-mata dengan menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia kepada pihaknya dengan segera.
"Jakim juga menyeru agar pengguna lebih berwaspada terhadap sebarang penyebaran maklumat dan tidak ragu-ragu terhadap logo halal Malaysia yang berada di pasaran kerana Jakim sentiasa komited agar produk yang memiliki pensijilan halal Malaysia adalah 'halalan tayyiban'. - Instant Malaysia


Hasmiza Othman

SAYA tak tahu peraturan, sekarang dah tahu lepas ni tak buat lagi,” itu janji Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman selepas dikritik Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam kerana tidak mematuhi peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan membabitkan Kelantan.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, selepas teguran itu, beliau berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dr Vida memaklumkan beliau tidak tahu mengenai peraturan berkenaan.
Kelmarin, Kevin menggariskan beberapa peraturan yang wajar dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain beraksi di padang.

Menurut Kevin, Dr Vida perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti mengelak daripada menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai pemain di padang.

Kata Kevin lagi, Dr Vida tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu penyokong dan perkara seumpama itu adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi.

Malah, Dr Vida juga dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.
Kevin menegaskan, Dr Vida mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan.

Menurutnya, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga- M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu. - Instant Malaysia

SEPANG: Seorang pengawal peribadi kepada ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah pikap di bulatan berhampiran pekan Chaterfield, Pusat Komersial KLIA, Sepang,  pada Jumaat malam.

Dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, pengawal peribadi terbabit yang hanya dikenali sebagai Hazrat memandu kereta jenis Mercedes Benz sebelum kenderaannya dihalang dua lelaki yang kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan.


Pengawal peribadi ditembak di KLIA
Mangsa cedera parah pada belakang bahu kanan akibat tiga das tembakan. - Bernama

Bagaimanapun, ketika serangan itu, majikan Hazrat menaiki kereta lain yang mengekori keretanya.

Dalam insiden yang berlaku sewaktu mereka dalam perjalanan menuju ke terminal KLIA2 itu, suspek melepaskan tembakan dari arah hadapan dan cermin sisi sebelah penumpang hadapan.

Sumber Astro Awani mengatakan, akibat serangan itu, Hazrat cedera parah pada belakang bahu kanan akibat tiga das tembakan.

Dia dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

Siasatan awal polis membawa kepada penemuan lebih 10 butir kelongsong peluru yang digunakan suspek.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata Hazrat dilaporkan stabil setelah menjalani pembedahan pada pagi Sabtu. 

Pembedahan tersebut adalah bagi mengeluarkan peluru di belakang bahu kanannya.

Motif kejadian itu masih belum diketahui dan siasatan lanjut masih dilakukan. - Instant Malaysia



JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menyerahkan kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar supaya Tambak Johor digantikan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu bukanlah isu baharu kerana kerajaan negeri telah pun menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.

"Pendirian kita dari dahulu memang jelas, sudah sampai masanya (kita rasa) Tambak Johor diganti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Sihat dan Ceria di Pasir Gudang hari ini.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu tertakluk kepada perbincangan Malaysia dan Singapura sekiranya agenda Tambak Johor dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin kedua-dua negara yang akan datang.

Mohamed Khaled berkata mesyuarat tahunan itu berhubung hubungan dua hala kedua-dua negara dan agendanya ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong.

Baru-baru ini Sultan Ibrahim mencadangkan supaya Tambak Johor diganti dalam usaha melancarkan lagi trafik di kawasan itu.

Sumber Astro Awani juga berkata, Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer, yang menghubungkan Johor Baharu dan Woodlands, siap dibina pada 1923. - Instant Malaysia


KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi Digi menjadi syarikat pertama di Malaysia memperkenalkan cuti bersalin bergaji selama enam bulan kepada warga kerjanya.

Menurut Ketua Pegawai Seliaan, Siti Fauziah Abu, pendekatan itu diambil bagi menggalakkan penglibatan wanita di sektor digital.

Digi syarikat pertama negara perkenal cuti bersalin enam bulan
Inisiatif cuti bersalin enam bulan itu akan dilaksanakan bermula tahun ini yang diperkenalkan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia. -Gambar hiasan

Objektifnya adalah bagi menggalakkan wanita dalam bidang digital, bukan sahaja warga Digi malah pelanggan dan seluruhnya,” kata Siti Fauziah.

Selain itu, menurutnya, dasar cuti bersalin ini akan membuatkan Digi bukan sahaja sebuah syarikat yang menarik untuk bekerja, tetapi juga tempat di mana wanita boleh membina kerjaya dan seterusnya mengisi barisan kepimpinan.

Menurut Siti Fauziah, inisiatif cuti bersalin enam bulan itu akan dilaksanakan bermula tahun ini dan diperkenalkan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Sumber Astro Awani juga berkata, selain cuti bersalin enam bulan, Digi turut melancarkan beberapa inisiatif khusus buat wanita yang bertujuan memperkasakan kaum hawa melalui kuasa internet antaranya Women Inspiration Network (WIN) dan Wanita Era Digital (WED).

Siti Fauziah berkata demikian selepas forum anjuran Digi bertajuk 'Memajukan Wanita Di Bidang Digital Dan Tempat Kerja' pada Jumaat.

Forum tersebut dianjur bagi mengupas cabaran dan peluang yang dihadapi oleh wanita dalam tenaga kerja.

Antara yang diwacanakan adalah bagaimana pemimpin wanita menyumbang kepada pertumbuhan organisasi, dan kefasihan digital memecahkan halangan dalam memastikan peluang yang sama rata dengan kaum lelaki.

Panel yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (Mdec) Datuk Yasmin Mahmood dan Pengasas aplikasi Watch Over Me Xinch Chin. - Instant Malaysia



KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis akan menyiasat secara terperinci isu itu selepas Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan masing-masing berkaitan isu itu di Parlimen.

"Saya difahamkan JAN sudah menyiapkan laporan berkenaan. Jadi kita tunggu ia dibentangkan, kemudian kami akan tahu kandungan laporan, kalau ada kesalahan maka kami akan siasat (secara terperinci).

"Dokumen-dokumen di pejabat Ketua Audit Negara...biar mereka serahkan laporan dulu," katanya pada sidang media selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-209 di Pulapol, di sini hari ini. - Bernama, Instant Malaysia

Tambahan 14 gerabak baharu INNOVIA Metro300 tingkat kekerapan tren LRT

SUBANG JAYA: Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya bakal menikmati perjalanan lebih kondusif dengan penggunaan tren generasi baharu, Bombadier INNOVIA Metro 300. 

Dengan 14 set gerabak baharu ini, kekerapan tren di laluan Kelana Jaya dijangka dapat dipertingkatkan kepada selang dua minit apabila ia mula beroperasi Jun nanti.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohd Amin, penambahan gerabak tren baharu itu dibuat setelah mengambil kira jumlah pengguna yang dijangka meningkat berikutan pelaburan dalam bidang pembangunan berorientasikan transit.

Selain itu, ia juga berikutan pembukaan 13 lagi stesen melalui Projek Sambungan LRT Kelana Jaya.

"Jadi sebagai persediaan ke arah itu kita perlu meningkatkan kapasiti tren kita, sekarang ini kita beroperasi dengan kekerapan 2.36 saat satu tren tapi dengan pertambahan tren ini tempoh kekerapan dapat dikurangkan kepada 2 minit setiap tren.

"Ini pastinya akan memudahkan pengguna," katanya sambil menambah jangkaan peningkatan pengguna sehingga 13 peratus pada suku kedua 2016 apabila Projek Sambungan LRT Kelana Jaya mula beroperasi.

Pihaknya juga merancang untuk menambah bilangan gerabak dan menggantikan LRT dua gerabak kepada empat bagi memenuhi pertambahan pengguna.

Bakal dilengkapi empat kamera litar tertutup dalam setiap gerabak ia juga mempunyai reka bentuk yang lebih dinamik dan boleh memuatkan hampir 240 orang dalam satu gerabak berbanding 180 orang dengan gerabak sedia ada.

Setiap gerabak juga dipasang dengan kemudahan sistem informasi penumpang, iaitu kemudahan infotainment untuk hiburan dan maklumat kepada para penumpang. Instant Malaysia



SHAH ALAM - Naib Preiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, sesebuah negara akan sukar untuk membangun sekiranya nilai kepercayaan terhadap negara itu sudah luntur.
"Sebagai satu contoh apa yang terjadi terhadap negara Filipina.

"Dulu Filipina merupakan negara yang cukup kaya tetapi sudah luntur keyakinan maka nak buat sesuatu mengambil masa berpuluh tahun untuk melahirkan keyakinan terhadap pelabur dalam dan luar negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shafie sependapat dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

"Ia perlu diselesaikan segera sepertimana harapan rakyat," katanya.

Semalam, Zeti berkata, bank pusat itu akan mengenakan tindakan pentadbiran ke atas 1MDB.

Ia susulan kegagalan syarikat itu menyediakan dokumen untuk membuktikan bahawa dana RM1.83 bilion dolar yang diarahkan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Instant Malaysia

Pantau kegiatan militan, 100 anggota Counter Terrorism diserap ke IPK negeri - Khalid

KUALA LUMPUR: Seramai 100 anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman akan ditempatkan di setiap ibu pejabat polis negeri untuk memantau kegiatan militan Daish.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penambahan itu perlu untuk melihat kegiatan kumpulan berkenaan di peringkat negeri.

"Kerajaan juga sudah memberi kelulusan selain mengakui ada peruntukan tambahan dibuat untuk jawatan baharu berkenaan.

"Kita akan wujudkan 100 jawatan di peringkat negeri, iaitu unit terrorism. Kita akan lihat jika ada keperluan untuk menambahnya lagi.

"Ia sudah mula dan sedang dilaksanakan sekarang, yang penting kita sedar perkara ini mustahak kita perlu beri perhatian selain bergerak cepat," katanya semasa sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Polis ke-209 oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pulapol di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan maklumat berkaitan individu dan kumpulan pengganas kepada ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh negara.

Dalam pada itu, katanya, Pusat Komunikasi Pintasan Mesej Digital Serantau (RDC3) akan diwujudkan di Bukit Aman bermula 1 April ini.

Ia akan dijadikan pusat dalam memerangi penyebaran ideologi keganasan terutamanya gerakan militan Daish. - Instant Malaysia

Penubuhan RDC3 bertujuan menyekat penyebaran propaganda Daish terutamanya melalui internet.



Kuala Lumpur: Kabinet hari ini bersetuju dengan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dengan panggilan Pak Lah sebagai penasihat Petronas yang baharu berkuat kuasa pada 1 April ini.

Menurut Perdana Menteri, DS Najib Razak, Abdullah menggantikan Tun Dr. Mahathir yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Penasihat Petronas oleh kabinet pada 11 Mac yang lalu.

"Keputusan menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dibuat kabinet kerana beliau tidak lagi mendukung kerajaan yang sedia ada, khususnya dalam melancarkan 'Deklarasi Rakyat' bersama pemimpin pembangkang," kata Najib sebagaimana lapor Harian Metro - Instant Malaysia

Mukhriz

SHAH ALAM - Merasakan mungkin bakal dipecat dek kerana kelantangan mengkritik kepimpinan tertinggi parti, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu Majlis Tertinggi Umno memberi ruang kepada beliau dan Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil keatas mereka.

Memetik laporan The RakyatPost.my, Mukhriz dipetik sebagai berkata beliau reda sekiranya dipecat tetapi mahu apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno perlulah berdasarkan kepada lunas-lunas perlembagaan parti.

“Saya harap mereka akan guna perlembagaan, tidak ambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Maksudnya kena ada siasatan oleh lembaga disiplin, kami diberi tunjuk sebab mungkin, diberi ruang untuk membela diri dan tidak hanya mengambil tindakan pecat tanpa mengikut lunas-lunas perlembagaan parti,” katanya kepada portal itu, ketika ditemui di program Santai Malam Kumpulan Melayu Berani Bersatu bersama Mukhriz di Istana Bambu, Ampang.

Usul pemecatan kedua-dua pemimpin Umno itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mengakui parti itu menerima desakkan daripada akar umbi untuk segera merujuk tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat Umno walaupun banyak laporan diterima parti tersebut. - Sinar Harian, Instant Malaysia



PUTRAJAYA ; “Kenderaan rasmi kerajaan yang dipandu melebihi had laju ketika digunakan untuk urusan rasmi kerajaan tidak dikenakan saman,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau menjelaskan jika terdapat keperluan untuk kereta rasmi kerajaan bergerak laju atas urusan rasmi kerajaan, perkara itu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Terdapat pengecualian … ia kesalahan yang boleh dimaafkan kerana urusan rasmi kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebaliknya jika saman dikeluarkan atas kapasiti peribadi pemandu atau pemilik kereta rasmi kerajaan itu, mereka perlu membayar sendiri saman itu.
“Jika saman dikeluarkan kepada saya kerana memandu melebihi had laju, saya kena bayar sendiri,” katanya. – Bernama, Instant Malaysia

Hak pekerja tempatan terpelihara di bawah TPPA - Richard Riot

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menggariskan sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas pekerja antara negara-negara TPPA.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata walaupun TPPA memerlukan beberapa pindaan terhadap perundangan negara yang berkaitan dengan pekerja seperti Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak, ia tidak akan menjejaskan kepentingan pekerja tempatan.

"TPPA tidak ada sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas antara negara TPPA.

"Kemasukan pekerja asing dalam setiap negara TPPA adalah berdasarkan kepada dasar dan undang-undang negara yang ditetapkan oleh negara itu sendiri," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa bagi Malaysia, kemasukan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan yang dibuat oleh majikan, dan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

Mengenai hak pekerja asing menyertai kesatuan sekerja di bawah TPPA, Richard berkata pekerja asing dibenarkan bertanding untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja dengan syarat mereka telah bekerja di negara ini secara sepenuh masa selama tiga tahun.

Buat masa ini, pekerja asing hanya dibenarkan menjadi anggota biasa kesatuan sekerja, katanya.
Malaysia dan 11 lagi negara lain telah menandatangani TPPA pada Februari lepas. - AWANI , Instant Malaysia

Jangan putar belit kenyataan TMJ

SHAH ALAM - Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menjelaskan bahawa kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini adalah bertujuan mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat.

Menurut beliau, apa yang dimaksudkan Tunku Ismail melalui kenyataannya sebelum ini adalah bagi memastikan sejarah hitam 1992 tidak berulang kembali malah baginda juga tidak pernah meletakkan pendiriannya untuk menghentam atau memihak kepada sesiapa.

“Baginda mahukan agar bangsa Johor sentiasa bersatu demi mengekalkan perpaduan antara semua kaum. Kenyataan tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat,” katanya menerusi Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail sebelum ini turut meminta semua pihak membaca kenyataannya dengan teliti dan mengingatkan media agar tidak memutarbelitkan kata-katanya atau mengambil kenyataannya di luar konteks.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, terdapat isu lain yang lebih besar perlu ditangani di negara ini dan bukannya dengan menjadikan kenyataan Tunku Ismail tersebut sebagai untuk mengalih perhatian. - Sinar Harian, Instant Malaysia

Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan sidang Parlimen keempat penggal Ke-13, pada 7 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhamad Roy Suhaimi Sarif yang mengesahkan perkara itu berkata, ahli Parlimen Gelang Patah itu hadir di Balai Polis Wangsa Maju, di sini pada jam 2.45 petang.

"Keterangan diambil dalam masa 30 minit. Kes disiasat mengikut Akta Hasutan‎ 1948," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kit Siang diarah memberi keterangan berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kenyataannya itu.

Pada 7 Mac lepas, Kit Siang dilaporkan sebagai berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan apabila Seri Paduka bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. - Bernama, Instant Malaysia



KUALA LUMPUR 23 Mac – Kerana mahu menambah pendapatan sampingan serta mengejar hidup mewah, 11 individu kerugian hampir RM6.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan licik sebuah syarikat yang berselindung di sebalik urus niaga mata wang asing (forex).

Kesemua mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan seorang wanita itu mendakwa terjerat selepas menyertai seminar pelaburan yang dianjurkan tiga individu di ibu negara pada September tahun lalu dan seterusnya membuat pelaburan.
Salah seorang mangsa, Mohamad Fairiz Omar berkata, dia yang bekerja sebagai ahli perniagaan diminta untuk melabur menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ejen yang terpilih selepas menyertai seminar berkenaan.
Menurutnya, bagi meyakinkan dirinya mengenai pelaburan tersebut, dia menyertai empat lagi seminar yang dikendalikan seorang lelaki dikenali sebagai Aizat yang mengaku guru dan pakar pelaburan forex.
“Sepanjang tempoh tersebut, Aizat telah menunjukkan kemewahannya seperti rumah, syarikat dan kenderaan bagi meyakinkan saya membuat pelaburan.
“Kerana percaya dan tanpa memikirkan risiko, saya melabur sebanyak AS$13,500 (RM53,962) namun menyedari ditipu selepas wang yang dilabur kepada rakan kongsi syarikat berkenaan di Singapura, tidak mendapat sebarang keuntungan,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad Fairiz memberitahu, dia seterusnya menghubungi Aizat untuk meminta semula wang pelaburannya itu namun lelaki terbabit memberi pelbagai alasan.
Katanya, dia bersama beberapa lagi mangsa yang turut mendakwa ditipu syarikat terbabit akhirnya membuat laporan polis sebelum memaklumkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi ketika ditemui berkata, sebaik sahaja menerima aduan daripada 11 mangsa, pasukan penyiasatan PPIM telah membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihaknya mendapati, syarikat pelaburan forex berkenaan telah ditutup.
Menurutnya, meskipun syarikat terbabit telah ditutup oleh pemilik asal namun, masih terdapat individu lain yang dikesan menjalankan seminar bagi mencari mangsa.
“Kita telah membuat perjumpaan dengan pemilik asal syarikat yang didaftarkan, dan dia telah mengesahkan syarikat tersebut telah ditutup sejak bulan lalu.
“Tetapi hari ini, serbuan kami di sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini mendapati, Aizat dan seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai ‘Ustaz’ masih menjalankan seminar menggunakan nama syarikat itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Muhammad Yusuf memberitahu, satu lagi laporan polis telah dibuat oleh pihaknya di Balai Polis Sri Hartamas dekat sini bagi mengesan dalang di sebalik penipuan ini. - Instant Malaysia


Seorang dari tahanan reman berhubung penyelewengan dana Kerajaan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis. 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah mahkamah bagi menahan reman seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu kes penyelewangan dana kerajaan yang bernilai RM 100 juta.

Perintah reman tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman.
SPRM juga turut memperoleh perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dua kontraktor syarikat penganjuran selama tujuh hari lagi sehingga 30 Mac selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini berakhir hari ini.

Sementara itu, dua lagi kontraktor syarikat penganjuran acara dan seorang wanita yang merupakan proksi sebuah syarikat yang turut ditahan dibebaskan hari ini dengna jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Pada Jumaat lepas, 9 individu ditahan SPRM termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM 107 juta.
Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak 2010 dengan menggunakan bahagian kewangan agensi KBS membuat bayaran kepada 14 buah syarikat kononnya untuk tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan. - Instant Malaysia

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Copyright 2016 by Instant Malaysia. Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget