KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan sidang Parlimen keempat penggal Ke-13, pada 7 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhamad Roy Suhaimi Sarif yang mengesahkan perkara itu berkata, ahli Parlimen Gelang Patah itu hadir di Balai Polis Wangsa Maju, di sini pada jam 2.45 petang.
"Keterangan diambil dalam masa 30 minit. Kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Kit Siang diarah memberi keterangan berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kenyataannya itu.
Pada 7 Mac lepas, Kit Siang dilaporkan sebagai berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan apabila Seri Paduka bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. - Bernama, Instant Malaysia
Post a Comment