Halloween Costume ideas 2015
Articles by "POLITIK"

1MDB

KUALA LUMPUR - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini berkata tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shahrol Azral berkata ketika penyiasatan dijalankan terhadap syarikat itu, beliau menghadap anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan memberi penjelasan penuh dan secara jujur kepada mereka tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB.

Shahrol Azral juga berkata beliau akan terus memberi kerjasama penuh tentang perkara itu.


"Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
"Semasa siasatan dijalankan, saya banyak kali hadir di hadapan anggota PAC yang dihormati.

"Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.

"Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan".

PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.

PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. - Bernama, Instant Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tersilap sebelum ini apabila mendakwa sejumlah RM42 bilion telah hilang dari akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, beliau berkata, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ternyata mendapati jumlah yang jauh lebih besar iaitu RM50 bilion.

"Laporan PAC sebut bukan RM42 bilion tetapi RM50 bilion. Jauh lebih banyak, maka saya silap sebab sebelum ini saya nyatakan jumlah yang lebih kecil.

"Saya rasa RM50 bilion ini juga tidak betul, mungkin lebih dari itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri dialog Deklarasi Rakyat: Realiti atau Fantasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya semalam bahawa laporan PAC yang diumumkan membuktikan tuduhan Mahathir terhadap 1MDB selama ini adalah tidak benar.

Ketika ditanya mengenai laporan PAC yang meminta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim disiasat, Mahathir berkata, Najib sebagai pengasas 1MDB merupakan individu yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap syarikat itu.

"Saya simpati dengan (bekas) CEO, bukan dia yang tubuhkan 1MDB. 1MDB dimulakan oleh Najib dan dia penasihatnya.

"Semua yang berlaku kepada 1MDB dia patut tahu. Sebenarnya tiada apa boleh dilakukan tanpa persetujuan Najib, jadi kenapa hukum lelaki ini (Shahrol)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Lembaga Pengarah 1MDB yang menawarkan untuk meletakkan jawatan, Mahathir berkata, 1MDB perlu dibubarkan secara keseluruhannya.

"Mereka langsung tidak buat apa-apa yang baik. Tunjuk kepada saya di mana RM42 bilion itu. Ia di sini dan di sana tetapi kita tidak nampak," dakwanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung penahanan Rafizi Ramli, beliau mendakwa ia sebagai satu usaha untuk menghalang Ahli Parlimen Pandan itu daripada bercakap.

"Rafizi ini dia tak serik bercakap dalam Parlimen, jadi dua tiga hari ini simpan dia dulu lah (dalam penjara) supaya dia tak boleh bercakap," katanya. - Sinar Harian, Instant Malaysia

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diumumkan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton Holdings Berhad (Proton), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).
Perletakan jawatan yang berkuatkuasa pada 30 Mac disusuli pemecatannya sebagai penasihat di Petronas 11 Mac lalu.
Proton dipengerusikan Mahathir sejak diasaskan pada 7 Mei 1983.
Surat perletakan jawatan sebagai pengerusi diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar semalam.
Perletakan jawatan sebagai Canselor UTP dimaklumkan kepada Rektor, Datuk Abdul Rahim Hashim, dan berkuatkuasa 30 Mac.
Difahamkan, Ketua Setiausaha Negara telah diumumkan mengenai perletakan jawatan ini.
Sebelum ini, beberapa pimpinan UMNO mendesak pemecatan bekas Perdana Menteri itu lantaran kelantangannya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Ketidakpuasan hati Mahathir terhadap Najib didorong skandal berkaitan 1MDB dan derma politik, RM2.6 bilion. FMT, Instant Malaysia 

rafizi Police

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memaklumkan bahawa dia telah dipanggil polis untuk memberi keterangan.
Ia ekoran laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan pasukan pengurusan 1MDB yang didakwa melakukan pecah amanah yang menurutnya terkandung dalam sebuah dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA)
“Saya telah menerima panggilan daripada pegawai penyiasat IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan saya berharap siasatan terhadap Arul Kanda Kandasamy boleh berjalan mengikut kaedah undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam sidang media, di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi turut memaklumkan akan memberikan keterangan kepada pihak polis selewat-lewatnyanya Isnin depan.
Semalam, Rafizi ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis terhadap Arul Kanda dan pihak pengurusan 1MDB berhubung dakwaan pecah amanah, yang menurut Rafizi terkandung dalam sebuah dokumen OSA.
Pada 28 Mac lalu, Rafizi mendedahkan dokumen daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) ke atas 1MDB dirahsiakan di bawah OSA.
Dokumen itu dikatakan menunjukkan kaitan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - FMT, Instant Malaysia

ali-rustam


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak supaya menamakan calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak berjaya disingkirkan.
Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, sehingga kini Dr Mahathir tidak menyebut mana-mana pemimpin yang layak untuk menggantikan Najib.
“Siapa yang beliau nak cadangkan dan nak lantik? Adakah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, atau anak beliau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Kita nak tahu, sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan parti dan rakyat dalam pilihanraya,” katanya dalam sidang media di Plaza Sentral hari ini.
Bekas Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden UMNO berkata, Deklarasi Rakyat yang dipimpin Dr Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO serta pembangkang tidak akan berjaya.
Katanya, mereka yang terlibat dalam gerakan itu ada kepentingan peribadi dan matlamat yang lain sekaligus mengagalkan usaha mereka untuk menjatuhkan Najib.
“Gabungan (Deklarasi Rakyat) tidak ikhlas kerana masing-masing ada matlamat sendiri.
“Tun Mahathir ada matlamat sendiri, Kit siang ada matlamat dia untuk jadi Perdana Menteri. Kita tahu juga DAP khususnya merupakan parti cauvenis dan tidak akan dapat berjaya bergabung dengan Dr Mahathir.
“Kit Siang hanya menggunakan Tun Mahathir untuk menjayakan matlamatnya menjadi Perdana Menteri. Itu impian Kit Siang dari dulu lagi,” katanya.
Dr Mahathir dan beberapa kumpulan penentang dalam UMNO serta pemimpin pembangkang telah mengerakkan satu kempen Deklarasi Rakyat yang bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
Kumpulan itu menggerakan kempen Selamatkan Malaysia dengan mendakwa Najib telah membawa banyak kerosakan kepada Negara kerana dituduh terlibat dalam skandal 1MDB dan dana RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. - FMT, Instant Malaysia

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Risiko pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Umno bukan penghalang untuk beliau menghadiri Kongres Rakyat 2016 walaupun sedar ia bertentangan Perlembagaan parti.

Muhyiddin mendakwa, kehadiran beliau ke perhimpunan itu adalah hak beliau sebagai warganegara malah dijamin oleh Perlembagaan, sekalipun bekerjasama dengan pembangkang untuk menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

[lock]

Itu hak saya sebagai warganegara untuk berhimpun dan mengambil bahagian. Mengikut Perlembagaan, tiada apa yang boleh menghalang saya".

Saya sudah dipecat daripada kerajaan, saya digantung oleh parti (Umno). Apa yang lebih penting bukan kedudukan saya (Timbalan Presiden Umno), tapi untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Kongres Rakyat 2016 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebuah sekretariat khas akan dibentuk bagi menyelaraskan segala usaha untuk menukar kepimpinan perdana menteri daripada pelbagai pihak walaupun berbeza ideologi politik.

Selagi mana ia menyokong pendirian kita supaya Najib letak jawatan, atau menyingkirkan Najib, kita tiada masalah dengan mereka.

[/lock]

Sama ada mereka bersama dengan kita atau tidak, asalkan objektifnya sama,” katanya pada sidang media sama.


SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir hadir ke Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, kira-kira 1.55 petang tadi.

Ketibaan bekas Presiden UMNO itu bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut sorakan pengunjung serta diselangi laungan 'reformasi'.


Turut kelihatan bersama ialah Ketua UMNO Bahagian Pagoh yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Kongres Rakyat: Mahathir, Mukhriz, Muhyiddin hadir bersama pemimpin pembangkang
Sebahagian daripada orang ramai yang hadir ke Kongres Rakyat di Shah Alam. - Foto Astro AWANI

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula tiba sekitar pukul 2.30 petang.

Tun Dr Mahathir bakal menyampaikan ucapannya pukul 5.30 petang dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Astro Awani.


Wartawan Astro AWANI di lokasi menghimpunkan beberapa tweet berdasarkan intipati ucapan daripada beberapa pemimpin dalam majlis tersebut:



4.00 petang: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub memulakan ucapan:


3.50 petang: Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk Murugesan Sinandavar:



3.40 petang: Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa berucap:




3.30 petang: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mula berucap:



3.20 petang: Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengambil giliran:



3.10 petang: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bercerita tentang harapan:



2.56 petang: Abdullah Sani berucap mewakili suara golongan pekerja:


2.50 petang: Ucapan seterusnya disampaikan oleh Pengerusi GKCM Kamarulazman Habibur Rahman:



2.40 petang: Isu 'mahasiswa lapar' terus disampaikan oleh Fahmi Zainol:


2.30 petang: Pendebat muda Syed Saddiq Abdul Rahman memulakan ucapan:




Sumber - Astro Awani By - Instant Malaysia



KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis akan menyiasat secara terperinci isu itu selepas Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan masing-masing berkaitan isu itu di Parlimen.

"Saya difahamkan JAN sudah menyiapkan laporan berkenaan. Jadi kita tunggu ia dibentangkan, kemudian kami akan tahu kandungan laporan, kalau ada kesalahan maka kami akan siasat (secara terperinci).

"Dokumen-dokumen di pejabat Ketua Audit Negara...biar mereka serahkan laporan dulu," katanya pada sidang media selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-209 di Pulapol, di sini hari ini. - Bernama, Instant Malaysia



SHAH ALAM - Naib Preiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, sesebuah negara akan sukar untuk membangun sekiranya nilai kepercayaan terhadap negara itu sudah luntur.
"Sebagai satu contoh apa yang terjadi terhadap negara Filipina.

"Dulu Filipina merupakan negara yang cukup kaya tetapi sudah luntur keyakinan maka nak buat sesuatu mengambil masa berpuluh tahun untuk melahirkan keyakinan terhadap pelabur dalam dan luar negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shafie sependapat dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

"Ia perlu diselesaikan segera sepertimana harapan rakyat," katanya.

Semalam, Zeti berkata, bank pusat itu akan mengenakan tindakan pentadbiran ke atas 1MDB.

Ia susulan kegagalan syarikat itu menyediakan dokumen untuk membuktikan bahawa dana RM1.83 bilion dolar yang diarahkan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Instant Malaysia

Mukhriz

SHAH ALAM - Merasakan mungkin bakal dipecat dek kerana kelantangan mengkritik kepimpinan tertinggi parti, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu Majlis Tertinggi Umno memberi ruang kepada beliau dan Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil keatas mereka.

Memetik laporan The RakyatPost.my, Mukhriz dipetik sebagai berkata beliau reda sekiranya dipecat tetapi mahu apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno perlulah berdasarkan kepada lunas-lunas perlembagaan parti.

“Saya harap mereka akan guna perlembagaan, tidak ambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Maksudnya kena ada siasatan oleh lembaga disiplin, kami diberi tunjuk sebab mungkin, diberi ruang untuk membela diri dan tidak hanya mengambil tindakan pecat tanpa mengikut lunas-lunas perlembagaan parti,” katanya kepada portal itu, ketika ditemui di program Santai Malam Kumpulan Melayu Berani Bersatu bersama Mukhriz di Istana Bambu, Ampang.

Usul pemecatan kedua-dua pemimpin Umno itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mengakui parti itu menerima desakkan daripada akar umbi untuk segera merujuk tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat Umno walaupun banyak laporan diterima parti tersebut. - Sinar Harian, Instant Malaysia



PUTRAJAYA ; “Kenderaan rasmi kerajaan yang dipandu melebihi had laju ketika digunakan untuk urusan rasmi kerajaan tidak dikenakan saman,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau menjelaskan jika terdapat keperluan untuk kereta rasmi kerajaan bergerak laju atas urusan rasmi kerajaan, perkara itu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Terdapat pengecualian … ia kesalahan yang boleh dimaafkan kerana urusan rasmi kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebaliknya jika saman dikeluarkan atas kapasiti peribadi pemandu atau pemilik kereta rasmi kerajaan itu, mereka perlu membayar sendiri saman itu.
“Jika saman dikeluarkan kepada saya kerana memandu melebihi had laju, saya kena bayar sendiri,” katanya. – Bernama, Instant Malaysia

Hak pekerja tempatan terpelihara di bawah TPPA - Richard Riot

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menggariskan sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas pekerja antara negara-negara TPPA.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata walaupun TPPA memerlukan beberapa pindaan terhadap perundangan negara yang berkaitan dengan pekerja seperti Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak, ia tidak akan menjejaskan kepentingan pekerja tempatan.

"TPPA tidak ada sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas antara negara TPPA.

"Kemasukan pekerja asing dalam setiap negara TPPA adalah berdasarkan kepada dasar dan undang-undang negara yang ditetapkan oleh negara itu sendiri," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa bagi Malaysia, kemasukan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan yang dibuat oleh majikan, dan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

Mengenai hak pekerja asing menyertai kesatuan sekerja di bawah TPPA, Richard berkata pekerja asing dibenarkan bertanding untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja dengan syarat mereka telah bekerja di negara ini secara sepenuh masa selama tiga tahun.

Buat masa ini, pekerja asing hanya dibenarkan menjadi anggota biasa kesatuan sekerja, katanya.
Malaysia dan 11 lagi negara lain telah menandatangani TPPA pada Februari lepas. - AWANI , Instant Malaysia

Jangan putar belit kenyataan TMJ

SHAH ALAM - Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menjelaskan bahawa kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini adalah bertujuan mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat.

Menurut beliau, apa yang dimaksudkan Tunku Ismail melalui kenyataannya sebelum ini adalah bagi memastikan sejarah hitam 1992 tidak berulang kembali malah baginda juga tidak pernah meletakkan pendiriannya untuk menghentam atau memihak kepada sesiapa.

“Baginda mahukan agar bangsa Johor sentiasa bersatu demi mengekalkan perpaduan antara semua kaum. Kenyataan tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat,” katanya menerusi Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail sebelum ini turut meminta semua pihak membaca kenyataannya dengan teliti dan mengingatkan media agar tidak memutarbelitkan kata-katanya atau mengambil kenyataannya di luar konteks.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, terdapat isu lain yang lebih besar perlu ditangani di negara ini dan bukannya dengan menjadikan kenyataan Tunku Ismail tersebut sebagai untuk mengalih perhatian. - Sinar Harian, Instant Malaysia

Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan sidang Parlimen keempat penggal Ke-13, pada 7 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhamad Roy Suhaimi Sarif yang mengesahkan perkara itu berkata, ahli Parlimen Gelang Patah itu hadir di Balai Polis Wangsa Maju, di sini pada jam 2.45 petang.

"Keterangan diambil dalam masa 30 minit. Kes disiasat mengikut Akta Hasutan‎ 1948," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kit Siang diarah memberi keterangan berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kenyataannya itu.

Pada 7 Mac lepas, Kit Siang dilaporkan sebagai berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan apabila Seri Paduka bertitah menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. - Bernama, Instant Malaysia


Seorang dari tahanan reman berhubung penyelewengan dana Kerajaan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis. 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah mahkamah bagi menahan reman seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu kes penyelewangan dana kerajaan yang bernilai RM 100 juta.

Perintah reman tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman.
SPRM juga turut memperoleh perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dua kontraktor syarikat penganjuran selama tujuh hari lagi sehingga 30 Mac selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini berakhir hari ini.

Sementara itu, dua lagi kontraktor syarikat penganjuran acara dan seorang wanita yang merupakan proksi sebuah syarikat yang turut ditahan dibebaskan hari ini dengna jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Pada Jumaat lepas, 9 individu ditahan SPRM termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM 107 juta.
Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak 2010 dengan menggunakan bahagian kewangan agensi KBS membuat bayaran kepada 14 buah syarikat kononnya untuk tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan. - Instant Malaysia




KUANTAN, 19 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Menurut Najib, dia bukan seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya.

"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya di majlis Himpunan Solidariti yang berlangsung hari ini.

Selain itu, Najib juga percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan bekerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.

"Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.

"Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana itu lebih kepada politik persepsi.

Di majlis tersebut, Najib turut melahirkan rasa gembira dengan agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan.

"Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya sebagaiman lapor Bernama.

Beliau berkata, rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat. - InstantMalaysia

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Copyright 2016 by Instant Malaysia. Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget