KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menggariskan sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas pekerja antara negara-negara TPPA.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata walaupun TPPA memerlukan beberapa pindaan terhadap perundangan negara yang berkaitan dengan pekerja seperti Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak, ia tidak akan menjejaskan kepentingan pekerja tempatan.
"TPPA tidak ada sebarang peruntukan berhubung pergerakan bebas antara negara TPPA.
"Kemasukan pekerja asing dalam setiap negara TPPA adalah berdasarkan kepada dasar dan undang-undang negara yang ditetapkan oleh negara itu sendiri," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa bagi Malaysia, kemasukan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan yang dibuat oleh majikan, dan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.
Mengenai hak pekerja asing menyertai kesatuan sekerja di bawah TPPA, Richard berkata pekerja asing dibenarkan bertanding untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja dengan syarat mereka telah bekerja di negara ini secara sepenuh masa selama tiga tahun.
Buat masa ini, pekerja asing hanya dibenarkan menjadi anggota biasa kesatuan sekerja, katanya.
Post a Comment