Halloween Costume ideas 2015
Articles by "KINI TRENDING"

1MDB

KUALA LUMPUR - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini berkata tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shahrol Azral berkata ketika penyiasatan dijalankan terhadap syarikat itu, beliau menghadap anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan memberi penjelasan penuh dan secara jujur kepada mereka tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB.

Shahrol Azral juga berkata beliau akan terus memberi kerjasama penuh tentang perkara itu.


"Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
"Semasa siasatan dijalankan, saya banyak kali hadir di hadapan anggota PAC yang dihormati.

"Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.

"Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan".

PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.

PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. - Bernama, Instant Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tersilap sebelum ini apabila mendakwa sejumlah RM42 bilion telah hilang dari akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, beliau berkata, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ternyata mendapati jumlah yang jauh lebih besar iaitu RM50 bilion.

"Laporan PAC sebut bukan RM42 bilion tetapi RM50 bilion. Jauh lebih banyak, maka saya silap sebab sebelum ini saya nyatakan jumlah yang lebih kecil.

"Saya rasa RM50 bilion ini juga tidak betul, mungkin lebih dari itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri dialog Deklarasi Rakyat: Realiti atau Fantasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya semalam bahawa laporan PAC yang diumumkan membuktikan tuduhan Mahathir terhadap 1MDB selama ini adalah tidak benar.

Ketika ditanya mengenai laporan PAC yang meminta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim disiasat, Mahathir berkata, Najib sebagai pengasas 1MDB merupakan individu yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap syarikat itu.

"Saya simpati dengan (bekas) CEO, bukan dia yang tubuhkan 1MDB. 1MDB dimulakan oleh Najib dan dia penasihatnya.

"Semua yang berlaku kepada 1MDB dia patut tahu. Sebenarnya tiada apa boleh dilakukan tanpa persetujuan Najib, jadi kenapa hukum lelaki ini (Shahrol)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Lembaga Pengarah 1MDB yang menawarkan untuk meletakkan jawatan, Mahathir berkata, 1MDB perlu dibubarkan secara keseluruhannya.

"Mereka langsung tidak buat apa-apa yang baik. Tunjuk kepada saya di mana RM42 bilion itu. Ia di sini dan di sana tetapi kita tidak nampak," dakwanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung penahanan Rafizi Ramli, beliau mendakwa ia sebagai satu usaha untuk menghalang Ahli Parlimen Pandan itu daripada bercakap.

"Rafizi ini dia tak serik bercakap dalam Parlimen, jadi dua tiga hari ini simpan dia dulu lah (dalam penjara) supaya dia tak boleh bercakap," katanya. - Sinar Harian, Instant Malaysia


BIARPUN dilanda banyak isu dan kontroversi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Airlines (MAS) masih mendapat kepercayaan daripada penumpang, khususnya rakyat negara ini.

Ini terbukti apabila MAS menerima kritikan pedas daripada anak seorang anak kenamaan (VIP) semalam, netizen tanpa ragu-ragu menyuarakan sokongan mereka buat syarikat yang sudah beroperasi lebih 40 tahun itu.

Ramai yang tidak senang dengan kritikan yang dilemparkan dan menyifatkannya sebagai sangat biadap.


Netizen bidas kritikan terhadap MAS.
Netizen bidas kritikan terhadap MAS.

Netizen berpendapat, biarpun kritikan adalah sesuatu yang boleh membina, namun ia boleh menjadi sebaliknya terutamanya apabila dilontarkan dalam nada sinikal. Malah, jika tidak kena tempat, ia boleh disifatkan sebagai menghina.

Jika anda sependapat dengan mereka, suarakan sokongan buat MAS dengan hashtag #whyiflymas di laman sosial.

Semalam, anak Menteri tersebut mengkritik MAS sebagai sebuah penerbangan yang mahal, selain mempunyai krew kabin yang sudah berusia.

Ia mendapat reaksi negatif banyak pihak, termasuk Persatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), yang menyifatkan kritikan itu bukan sahaja tidak sensitif tetapi juga menjejaskan maruah krew kabin syarikat penerbangan itu. - Astro Awani, Instant Malaysia

Penumpang ajak perampas pesawat EgyptAir rakam selfie

KETIKA detik cemas insiden pesawat EgyptAir dirampas, seorang lelaki dari Aberdeen, Scotland sempat merakam selfie bersama perampas pesawat itu. 

Ben Innes, 26, yang merupakan antara penumpang terakhir untuk dibebaskan memberitahu akhbar The Sun beliau sendiri tidak tahu mengapa beliau berani untuk berdiri di sebelah perampas pesawat yang dikenali sebagai Seif Eldin Mustafa. 

Saya tidak tahu kenapa saya berbuat demikian.

Saya bertanya kepada seorang kru yang bertindak sebagai penterjemah jika saya boleh rakam selfie bersamanya. Dia mengatakan ‘OK’ dan saya berdiri di sebelahnya dan senyum untuk lensa kamera.

Ia mungkin akan menjadi selfie yang paling menarik untuk dikongsi kepada rakan-rakan – lebih menarik dari apa yang boleh dirakam ketika sedang bercuti," katanya kepada akhbar tersebut. 

Selain itu, beliau mengambil peluang itu untuk melihat senjata yang digunakan oleh perampas pesawat dengan dekat.

"Saya dapat melihat sesuatu yang terikat pada pinggangnya dan  pegang kepada satu alat pencetus,” tambahnya.

Sebuah pesawat EgyptAir telah dirampas ketika dalam perjalanan dari Iskandariah ke Kaherah dan kini telah mendarat di Cyprus pada Selasa. 
Menurut pegawai lapangan terbang Kaherah, pesawat jenis Airbus A320 itu membawa seramai 55 orang penumpang dan tujuh anak kapal.

Pihak polis berkata, perampas pesawat tidak membuat apa-apa tuntutan selepas ia mendarat di Larnaca di bahagian selatan pulau tersebut. -  Astro Awani , Instant Malaysia


APLIKASI foto Instagram akhirnya memperkenalkan durasi video 60 saat, sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan pengguna media sosial.

Ia secara rasmi dilancarkan ke iOs dan Android, pada Selasa.



Menurut kenyataan di blognya, Instagram berkata dengan pelancaran video berdurasi lebih panjang, ia diharapkan lebih mesra pengguna memandangkan ia berupaya meneroka elemen kreatif dan memberi keseronokan kepada pengguna.

Sebelum ini, durasi video 15 saat yang diguna pakai Instagram sering mengundang keluhan pengguna, yang menyifatkannya sebagai tidak praktikal kerana terlalu pendek.

Penyanyi Selena Gomez antara yang terawal mencuba versi video terbaharu ini.



A video posted by Selena Gomez (@selenagomez) on

Memiliki lebih 400 juta pengguna aktif, langkah yang diambil Instagram itu dilihat tepat pada masanya, apatah lagi dengan peningkatan mendadak pada tontonan video di laman sosial itu, iaitu 40 peratus sejak enam bulan kebelakangan ini. Astro Awani, Instant Malaysia

Impian 24 tahun seorang pemuda bertemu Tun Mahathir suntik semangat netizen

KUALA LUMPUR: Impian yang disimpan selama 24 tahun oleh seorang lelaki untuk bertemu idolanya iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menjadi kenyataan.

Kisah pemuda ini nyata telah menyuntik semangat rata-rata netizen di media sosial.

Mohd Fahmi Huzairi dari Mentakab Pahang merupakan seorang penyokong setia Tun Mahathir yang telah lama menunggu hari terbaik untuknya bertemu pemimpin tersebut. 

Lebih mengagumkan, Fahmi menghadiri perhimpunan Kongres Rakyat dari Mentakab dengan menggunakan wang tabungnya.

Difahamkan, Fahmi telah menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyertai perhimpunan yang turut dihadiri Tun Mahathir pada Ahad lalu.

Tetapi malangnya, beliau terpaksa bermalam di Kuala Lumpur dengan bantuan seorang rakan kerana tidak ada bas yang bertolak ke Pahang pada malam itu.

Mungkin itu adalah takdir Fahmi untuk bertemu Tun Mahathir pada keesokan harinya.

Bak kata pepatah, “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”

Kegigihan dan kekaguman Fahmi akhirnya menemukan beliau dengan lelaki yang pernah memimpin negara selama 22 tahun itu.

Dengan bantuan rakan-rakan penyokong Tun Mahathir, Fahmi berpeluang untuk bertemu serta meluangkan masa bersama Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada pagi Isnin sebelum beliau bertolak ke Mentakab.

Bukan sekadar bertemu, Fahmi sempat meluahkan kasih sayangnya dengan memeluk Tun Mahathir.

Beberapa keping rakaman pertemuan itu kemudian dikongsi oleh Fahmi menerusi laman Facebooknya dan ia menjadi viral dalam sekelip mata.




Ikhmal Mohamad Dan Kelab Che Det...Allah sahaja yg boleh membalas jasa2 semua.Impian 24tahun nk cium tgn Tun M dan peluk beliau terealisasi kini#AkuMahathirismeXde kata2 dah.
Posted by Mohd Fahmi Huzairi on Sunday, March 27, 2016

Susulan itu, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan sikap keikhlasan dan kasih sayang Tun Mahathir yang sanggup memeluk seorang rakyat biasa seperti Fahmi.
Malah, mereka juga berpendapat pertemuan ini merupakan pembakar semangat kepada golongan muda di negara ini.

Seorang pengguna Facebook, Rayyan Adam berkata,  “Jika diukur dari penelitian jurufoto profesional , foto sebegini adalah klasik, inspirasi, mempamerkan suatu ketulenan hubungan ikhlas antara seorang pemimpin dan rakyat biasa."

Terharu tengok gambar-gambar ini...bukan memuja...bukan memuji...tetapi kerana kasih sayang suci dan ikhlas buat pemimpin yang cukup disayangi dunia ini".
Kami semua bangga ada pemimpin seperti ayahanda Tun Dr Mahathir,” kata Putra Kola. 



SEPANG - Sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung dikesan menyalahgunakan logo halal Malaysia pada bungkusan makanannya bagi memasarkan produk daging babi untuk dieksport.
Lebih mengecewakan apabila nama produk tersebut yang ditulis dalam bahasa Mandarin membawa maksud 'daging babi salai pedas Melayu'.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Sirajuddin Suhaimee, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk tersebut ketika membelinya di salah sebuah kedai di Ampang, Selangor.
"Selepas mendapat aduan berkaitan produk berkenaan kita telah meminta pihak bertanggungjawab untuk menterjemah tulisan Mandarin pada hadapan bungkusan tersebut dan mendapati produk ini dihasilkan di sebuah kilang di sebuah negeri Pantai Timur berdasarkan alamat tertera.
"Sehubungan itu, kita telah menghantar pasukan siasatan untuk mengesan kilang tersebut dan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk berasaskan daging babi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri konvensyen badan pensijilan halal kali ketujuh di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sirajuddin berkata, berdasarkan tulisan pada bungkusan produk tersebut mendapati pada hadapan bungkusan tersebut menggunakan Bahasa Thailand manakala, di bahagian belakangnya pula menggunakan Bahasa Mandarin.
Katanya lagi, siasatan awal turut mendapati bahawa produk tersebut bukan untuk edaran tempatan sebaliknya untuk dieksport ke pasaran Fujian, China dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan disabitkan ke atas individu.
Sumber Kosmo itu berkata, bagi kesalahan membabitkan syarikat, mahkamah boleh memerintahkan pengusaha membayar denda tidak lebih RM5 juta sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai supaya menjadi mata-mata dengan menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia kepada pihaknya dengan segera.
"Jakim juga menyeru agar pengguna lebih berwaspada terhadap sebarang penyebaran maklumat dan tidak ragu-ragu terhadap logo halal Malaysia yang berada di pasaran kerana Jakim sentiasa komited agar produk yang memiliki pensijilan halal Malaysia adalah 'halalan tayyiban'. - Instant Malaysia


Cabaran pinggang A4 jadi trol di media sosial

SHANGHAI-CHINA. Cabaran pinggang bersaiz kertas A4 di China yang mula menjadi ikutan remaja dan wanita China dikecam teruk di media sosial.

Kebanyakan netizen berpandangan ia merupakan satu tabiat diet yang tidak sihat, selain menyifatkan ia lebih kepada perbuatan yang menyeksa diri sendiri.

Seorang pengguna media sosial yang tidak mahu dinamakan berpendapat kecantikan sebenar tidak hanya diukur berdasarkan sekeping kertas putih.

Manakala seorang lelaki yang menggunakan tweet handle @WeatherChambers memuat naik gambar saiz badannya yang berukuran pinggang yang bersaiz tiga keping kertas A4.

Kenyataan tersebut ditulis di atas sekeping kertas A4 dan ditayangkan menerusi fotonya.

Menurutnya, sebagai seorang bapa yang sedang membesarkan dua anak perempuan, trend tidak sihat yang seperti itu agak membimbangkannya.

“Saya juga berjaya bergambar dengan kepingan (tiga keping) kertas A4! Bagaimanapun, sebagai seorang ayah yang sedang membesarkan empat orang anak (dua lelaki dan dua perempuan).

"Boleh kita henti sebarkan imej bentuk tubuh badan sebegini?” katanya seperti yang disebarkan menerusi Twitter.

Trend cabaran pinggang bersaiz A4 ini dikatakan mula popular di kalangan remaja China sejak kebelakangan ini.

Mana-mana gadis atau wanita yang dikatakan boleh melindungi pinggang mereka dibelakang kertas A4 dikatakan mempunyai saiz pinggang yang benar-benar ideal dan cantik. - Instant Malaysia

Nahas Flydubai: TV Rusia siar kata-kata akhir juruterbang

MOSCOW: Saluran televisyen Rusia Rossiya-1menyiarkan kata-kata akhir juruterbang pesawat Flydubai yang terhempas di Rostov-on-Don minggu lalu, yang menunjukkan kebarangkalian nahas disebabkan oleh kesilapan juruterbang, lapor AFP.

Transkrip perbualan terakhir itu jelas menunjukkan pesawat tersebut hilang kawalan sejurus fungsi autopilot dimatikan.

"Jangan bimbang," kata juruterbang berulang kali dalam transkrip yang diterjemah ke dalam Bahasa Rusia, sebelum beberapa kali berkata "Jangan buat begitu!"

Kemudian, kata-kata terakhir yang dirakam adalah "Tarik!" yang berulang kali disebut oleh juruterbang berkenaan.

Untuk enam saat terakhir, apa yang didengari hanyalah jeritan manusia, lapor saluran TV tersebut.

Namun begitu, saluran TV itu menegaskan bahawa transkrip berkenaan -- yang menunjukkan juruterbang terbabit telah secara tidak sengaja menghidupkan suis penstabil mendatar ketika cubaan meletakkan pesawat dalam keadaan mendatar – bukanlah satu versi rasmi.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat ketika ini sedang meneliti punca nahas sama ada disebabkan cuaca buruk, kseilapan juruterbang atau masalah teknikal.

Pesawat FZ981 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, terhempas di landasan Lapangan Terbang Rostov-on-Don ketika cubana mendarat pada 19 Mac lalu.

Sebanyak 55 penumpang dan tujuh anak kapal terkorban dalam nahas itu.

A 3D reconstruction of the Fly Dubai FZ981 crash in Russia



GEORGETOWN - Orang ramai dinasihat agar mengelakkan pengambilan minuman panas dan melakukan senaman fizikal melampau bagi mengurangkan risiko mengalami strok haba kesan daripada cuaca panas pada masa ini.

Pengarah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Normala Abdul Wahid berkata, minuman beralkohol dan kafein juga perlu dielakkan, selain memastikan sentiasa berpakaian sesuai terutama daripada material kapas.

"Jangan terdedah kepada terik cahaya matahari dari pukul 11 pagi hingga 3 petang dan jika terpaksa mengharungi keadaan itu, jalan di tempat redup, pakai pelindung matahari, topi atau selendang.

"Jika berada dalam keadaan panas dan anda kerap membuang air kecil dan urin berwarna gelap, ini menunjukkan dehidrasi dan perlu minum air yang lebih," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara kesan lain terhadap kesihatan yang disebabkan oleh haba adalah hyperthermia, edema haba, ruam panas, kekejangan haba, keletihan atau pengsan.

Dalam pada itu Normala berkata, jika mengunjungi negara yang panas, orang ramai perlu berhati-hati pada awal ketibaan dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca tersebut.

Katanya bantuan kecemasan awal yang boleh diberikan jika individu mengalami masalah akibat haba ialah dengan mengalihkan pesakit ke persekitaran yang teduh atau berhawa dingin dan tanggalkan jaket, kot atau apa-apa jenis pakaian panas yang dipakai.

"Lapkan anggota badan pesakit dengan span atau tuala basah, letakkan pek ais di bahagian ketiak, pangkal paha, leher dan belakang mangsa kerana kawasan ini kaya dengan saluran darah berhampiran dengan kulit dan dapat mengurangkan suhu badan dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata jika perlu, pesakit juga boleh berendam dalam tab air bagi mempercepatkan penurunan suhu badan. - Bernama, Instant Malaysia

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Copyright 2016 by Instant Malaysia. Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget