SUBANG JAYA: Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya bakal menikmati perjalanan lebih kondusif dengan penggunaan tren generasi baharu, Bombadier INNOVIA Metro 300.
Dengan 14 set gerabak baharu ini, kekerapan tren di laluan Kelana Jaya dijangka dapat dipertingkatkan kepada selang dua minit apabila ia mula beroperasi Jun nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohd Amin, penambahan gerabak tren baharu itu dibuat setelah mengambil kira jumlah pengguna yang dijangka meningkat berikutan pelaburan dalam bidang pembangunan berorientasikan transit.
Selain itu, ia juga berikutan pembukaan 13 lagi stesen melalui Projek Sambungan LRT Kelana Jaya.
"Jadi sebagai persediaan ke arah itu kita perlu meningkatkan kapasiti tren kita, sekarang ini kita beroperasi dengan kekerapan 2.36 saat satu tren tapi dengan pertambahan tren ini tempoh kekerapan dapat dikurangkan kepada 2 minit setiap tren.
"Ini pastinya akan memudahkan pengguna," katanya sambil menambah jangkaan peningkatan pengguna sehingga 13 peratus pada suku kedua 2016 apabila Projek Sambungan LRT Kelana Jaya mula beroperasi.
Pihaknya juga merancang untuk menambah bilangan gerabak dan menggantikan LRT dua gerabak kepada empat bagi memenuhi pertambahan pengguna.
Bakal dilengkapi empat kamera litar tertutup dalam setiap gerabak ia juga mempunyai reka bentuk yang lebih dinamik dan boleh memuatkan hampir 240 orang dalam satu gerabak berbanding 180 orang dengan gerabak sedia ada.
Post a Comment