SEPANG - Sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung dikesan menyalahgunakan logo halal Malaysia pada bungkusan makanannya bagi memasarkan produk daging babi untuk dieksport.
Lebih mengecewakan apabila nama produk tersebut yang ditulis dalam bahasa Mandarin membawa maksud 'daging babi salai pedas Melayu'.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Sirajuddin Suhaimee, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk tersebut ketika membelinya di salah sebuah kedai di Ampang, Selangor.
"Selepas mendapat aduan berkaitan produk berkenaan kita telah meminta pihak bertanggungjawab untuk menterjemah tulisan Mandarin pada hadapan bungkusan tersebut dan mendapati produk ini dihasilkan di sebuah kilang di sebuah negeri Pantai Timur berdasarkan alamat tertera.
"Sehubungan itu, kita telah menghantar pasukan siasatan untuk mengesan kilang tersebut dan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia pada produk berasaskan daging babi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri konvensyen badan pensijilan halal kali ketujuh di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sirajuddin berkata, berdasarkan tulisan pada bungkusan produk tersebut mendapati pada hadapan bungkusan tersebut menggunakan Bahasa Thailand manakala, di bahagian belakangnya pula menggunakan Bahasa Mandarin.
Katanya lagi, siasatan awal turut mendapati bahawa produk tersebut bukan untuk edaran tempatan sebaliknya untuk dieksport ke pasaran Fujian, China dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan disabitkan ke atas individu.
Sumber Kosmo itu berkata, bagi kesalahan membabitkan syarikat, mahkamah boleh memerintahkan pengusaha membayar denda tidak lebih RM5 juta sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai supaya menjadi mata-mata dengan menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan logo halal Malaysia kepada pihaknya dengan segera.
"Jakim juga menyeru agar pengguna lebih berwaspada terhadap sebarang penyebaran maklumat dan tidak ragu-ragu terhadap logo halal Malaysia yang berada di pasaran kerana Jakim sentiasa komited agar produk yang memiliki pensijilan halal Malaysia adalah 'halalan tayyiban'. - Instant Malaysia
Post a Comment