Johor Serah Kepada Kerajaan Persekutuan Ganti Tambak Johor
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menyerahkan kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar supaya Tambak Johor digantikan.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu bukanlah isu baharu kerana kerajaan negeri telah pun menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.
"Pendirian kita dari dahulu memang jelas, sudah sampai masanya (kita rasa) Tambak Johor diganti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Sihat dan Ceria di Pasir Gudang hari ini.
Bagaimanapun, katanya keputusan itu tertakluk kepada perbincangan Malaysia dan Singapura sekiranya agenda Tambak Johor dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin kedua-dua negara yang akan datang.
Mohamed Khaled berkata mesyuarat tahunan itu berhubung hubungan dua hala kedua-dua negara dan agendanya ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong.
Baru-baru ini Sultan Ibrahim mencadangkan supaya Tambak Johor diganti dalam usaha melancarkan lagi trafik di kawasan itu.
Sumber Astro Awani juga berkata, Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer, yang menghubungkan Johor Baharu dan Woodlands, siap dibina pada 1923. - Instant Malaysia
Post a Comment